Monday, October 24, 2011

Bisik-bisik Gemersik

Membuka kotak kecil minda 2007. Pada masa tanggal ke-4 dalam musim Julai. Bersempena dengan hari keramat lahiriah sendiri. Kalaulah ia menjadi kenyataan sebelum menghembuskan nafas nafas nafas akhir ketika mahu meninggalkan fana ini kelak.


Masih bugar ingatan pada ketika itu, memikirkan dan menyimpan hasrat berniat pada suatu hari nanti, kiranya punyai rezeki restu Illahi….mahu sahaja menubuhkan sebuah rumah kebajikan anak yatim yang indah mesra alam milik sendiri. Bercirikan taman-taman indah sekeliling, kebun sayuran, padang ragut kecil yang menempatkan beberapa populasi hayawan Sunnah…kambing dan bebiri, kolam free-shape berwakafkan keluarga itik-itik bersih yang mandi-mandi dan disulami anak-anak penghuni yang baik akhlak budi pekerti. Meskipun, mungkin masih jauh untuk dicapai, namun tidak salah rasanya menyuburkan kembali impian ketiga ini di kala periuk-periuk lamunan kembali berdendang dan menyentuh gemersik hati. Ya Allah, tunaikanlah impian niat ini suatu masa nanti, padaMu aku memohon dan berserah.


Gemersik hati 2011 ini pula sekadar mencipta satu inovasi diri mungkin untuk 2012. Merisik hati bertanya diri, samada “Sesuaikah kalau sebiji Kek Pernikahan yang kebiasaanya disulam dakwat krim aising dengan ayat Selamat Pengantin Baru menggunakan tulisan romaji itu ditukar ganti dengan menggunakan Khat Jawi Thuluth atau Diwani. Rasa-rasanya lagi indah, cantik dan berseri dan yang pasti ia lain dari yang telah banyak diaplikasi. Harus terus memikir agaknya barangkali.