Friday, August 12, 2011

Belai

Mungkin belaian terakhir atau kedua akhir. Tapi ketiga akhir macam sudah terlambat dan lebih tepat tidak mungkin. Semoga yang baik ambil tirulah untuk kebaikan pada sesiapa sahaja dan kiranya kekurangan atau yang bersifat negatif tinggalkan ia dalam sedikit renungan. Ia tentang Sutoori ini.


Semakin mahu tinggalkan tanah jawa ini, kian juga bertambah rasa indah untuk kenangan dan penghormatan buat kamu. Benar, mungkin anda tidak tahu saya sangat hormat kamu dalam diam hati ini. Hormat demi sebuah harapan masa depan kita dan kamu-kamu itu. Mereka ramai-ramai datang sampaikan hasrat mahu datang berbuka rumah sewa cikgu bujang. Menyatakan hasrat sedih mahu berpisah dengan ssdl. Melahirkan mahu bersama makan berteman cikgu. Ya cikgu yang akan menghabiskan LMPK selama 3 bulan bersama mereka.


Ibu-ibu mereka mahu masak dan supaya mereka dapat bawa dan tidak mahu menyusahkan cikgu mereka. Mungkin agaknya mereka faham betapa cikgu bujang seorang di rumah sewa tidak punya lengkapan masak untuk populasi yang besar, “toomoiimasu...” . Tapi cikgu keseorangan tetap mahu juga masak apa-apa untuk mereka, juga buat 3 jug air minum mereka dan beli tambah beberapa juadah lagi demi buat mereka. 3 insan yang datang awal rumah cikgu dan bawa tempe khas dan goreng di rumah cikgu, katanya tak mahu goreng di rumahnya bimbang cikgu makan yang sejuk. Katanya cikgu akan makan yang sedap kalau masih panas-panas. Aduhhh……aku kaku bibir terdiam kejap-semeta dan secepat kilas senyuman sepucuk ringkas.


Terharunya saya. Inilah yang saya ajar, kata cakap, didik dan yakinkan anda dalam pelbagai kaedah dan cara bahawa anda sebenarnya cerdik, potensi tinggi dan punyai pelbagai ruang kiranya anda faham cara strategi yang saya rancang khas buat anda. Saya gembira dengan kerja ini untuk kamu-kamu. Inikah berkat doa harian saya, atau satu permulaan tahap tengah untuk bangunkan anda, atau petunjuk sesuatu buat kita semua.


Allah telah memberi saya rasa di hujung ini, satu rasa apa yang selama ini saya suka sebutkan istilah terkesan. Walaupun kamu kelas hujung-hujung belakang dibubuh label status, walaupun kamu sangat nakal kadang-kadang, walaupun kamu anggap aku garang @ bekeng dan ada juga terdengar dulunya aku di label singokelate, tapi akhirnya kamu sangat hormat cikgu. Inikah yang dikatakan cikgu sudah berjaya jinakkan kamu??? Sehingga jenayah merokok pun kamu sudi ikhlas mengaku dengan cikgu tanpa segan???. Dan cebisan nota dari kamu-kamu setiap satu buat cikgu yang cikgu baca tadi sungguh mengharu-birukan lagi melodi di sanubari cikgu ini.


Betapa cikgu gembira berjaya jinakkan kamu. Kamu tak segan dan takut pada yang garang ini, kamu mahu sudi datang, kamu sudi goreng untuk cikgu agar cikgu merasa yang sedap panas-panas, kamu datang ramai-ramai rumah sewa cikgu mahu iftar berbuka bersama, kamu mahu solat magrib dengan cikgu bersama, kamu mahu cikgu tazkirah kamu, kamu mahu cikgu pesanpesan lagi itu ini.


Sesungguhnya kamu telah melukis satu warna baru pada qalbu cikgu yang mana warna itu kalau dicari pada papan asas kotak pensil warna jenama LUNA mahupun SWAN, warna baru itu tidak akan kamu ketemu. Kerna ia benar-benar satu warna baru. Cikgu akan sentiasa doakan kamu-kamu. Maafkan cikgu kerna perlu berangkat dulu.