Wednesday, September 16, 2009

Cerita mereka yang 'pergi'

"MIMIM, puasalah. Kalau Mimim puasa, Mimim dapat pahala. Bila Mimim dapat pahala, Abi dengan Ummi pun dapat pahala. Mimim, sayang Abi kan?" pujuk seorang bapa yang membahasakan dirinya 'Abi' kepada anaknya yang berusia lima tahun. Pujukan agar anak kecil itu berpuasa dilafazkan si bapa pada Ramadan tahun lalu.
Tahun ini, kata-kata pujukan itu hanya tinggal kenangan dalam diri Mimim atau Sofiah Munawwarah Asri, 6. Suara lembut itu tidak lagi kedengaran kerana bapanya, Ustaz Asri Ibrahim telah 'pergi tak kembali' pada 13 Ogos yang lalu, kurang dua minggu sebelum Ramadan menjengah. Asri, 40, yang merupakan vokalis kumpulan nasyid Rabbani meninggal dunia akibat serangan jantung.
Mungkin sukar buat Mimim melupakan memori bersama bapanya yang menjadi tempat bermanja. Apatah lagi, Mimim akrab dengan bapanya.