Thursday, August 26, 2010

Resipi Si Bujang Sakuragoaka

Ramadhan tahun ini suasana lain selebungi, peluk dakap saya. Di perantauan seorang diri satu pengalaman baru. Drama harian dilukis bahawa setiap petang selepas memasak, kateh jitensya (basikal) ke train station, daya sentuh kan kad tiket dan mengelamun sambil lihat persekitaran sebelum train sampai ke Masjid Camii, Tokyo. Kekadang nihonjin (japanese people) dalam train pandang saya semacam je, hujung matannya jeling saya atas bawa lihat (ye lah saya sorang dalam train berbaju melayu lengkap bersongkok) ...saya senyum je kat dieorang, klu ade yang tanya saya jawab "watashi wa MARESHIAA kara kimashita". Begitulah antara rutin Ramadhan saya. Mengembirakan dan menghiburkan diri adalah tunas wajib, sentiasa memikirkan insan susah yang bernasib sedikit malang di pelbagai pelusuk dunia. Kalis-kalis pandang, salju rasa dihati. Lihat langit biru campur putih, bagai senyum pada ku. Semangat sudah membiak, ku cantas rempah-ratus, ku uli-uli, adun-adun,,,,, aku perlu sedar bahawa aku bujang, barulah semangat berdikari dapat ditinggikan tahap peratus nilainya. Menu si bujang di perantauan, singkap sekadar perkonsian di jendela laman.

Jom kita sama ke Masjid untuk take breakfasting dan Solat Tarawikh.

Friday, August 13, 2010

Rembesan Setitik Dua Sumbangan Kelopak

Mula di sini. Nostalgia sebagai penumpang lokasi peperiksaan UPSR diri suatu ketika dulu benar-benar mencubit teras hati. Kerana, peristiwa berjaya menduduki peperiksaan tetapi gagal menyentuh rasa, menatap lihat dan menostalgiakan penilaian akademik selaku kanak-kanak sebelum melintasi garisan ke alam remaja. Bersekolah darjah 6 dan mendaftar calon UPSR di Sabah, sebelum berpindah pulang ke laman asal di bumi Cik Siti Wan Kembang kerana ayahanda tamat berkhidmat sebagai perajurit teguh setia 3 RAMD, sebelum menduduki peperiksaan tersebut membawa saya kepada gelaran calon menumpang (klu perasan pada kertas OMR sebelah kanan atas), perlu saya hitamkan. Masih menggunakan angka giliran berdaftar kod di Bawah Bayu, diri meneruskan belajar dan seperti pelajar lain menduduki peperiksaan itu.

Musim keputusan keluar sudah kecoh dicorong-corong mulut secara atas angin. Hari penuh bermakna dikhabarkan dan langkah kaki awal-awal pagi ke sekolah untuk melihat apa yang dapat. Sampai paling awal, duduk di bangku batu di bawah pohon ketapang tua, kemudian datang lagi dan lagi sahabat lain. Akhirnya semua pulang kerana hanya khabar palsu bahawa keputusan dapat hari itu. Di lain hari, khabar tersebar lagi dan seperti biasa diri kebetulan paling awal mendagu tunggu di bawah ketapang tua yang sama, dan datang yang lain dan rupa-rupanya masih belum sampai masa lagi dan semua pulang hampa. Hari sebenar, diri orang ketiga sampai (kalau tidak silap mengira) dan keputusan diumumkan dan diagihkan kepada setiap pelajar (ada yang gembira, separa gembira, kecewa dan seperti sgt kecewa).
Setelah semua mendapat hasil masing-masing, tetapi hanya saya masih tangan kosong dan Cikgu memaklumkan bahawa keputusan dan slip saya dihantar ke pusat pendaftaran kod saya (Sabah). Cikgu minta sabar menunggu dan saya terus menunggu dengan hati yang sudah mula sedih, pasrah dan geram sedikit-sedikit. Hampir 2 minggu, ia masih tak kunjung tiba, di saat pelajar lain sibuk dengan memohon ke pelbagai sekolah pelbagai taraf, saya masih sepi buntu kelabu tak terkata. Kelu sendiri. Pihak sekolah dan keluarga mula berusaha hubungi ke seberang laut sana dan tanya bila “hak” saya itu akan sampai. Dan jawapan dari mereka, ia sudah di pos dan akan tiba. Maka saya sedikit gembira. Hampir sebulan, masih senyap, dan bila ditanya lagi mereka kata “yang salinan juga sudah diposkan dan dalam perjalanan”. Akhirnya di suatu petang, salinan keputusan yang dimaksudkan tiba dengan keputusan yang tipu belaka (3 B , 2 TH-Tidak Hadir). Tipu setipu-tipunya!! Saya hadir semua, saya jawab semua, saya hantar semua jawapan. Maka,… rembesan sedikit keluar dari kelopak pada ketika itu.

Hari pendaftaran Tingkatan 1, saya masuk sekolah biasa sahaja, agak dalam sedikit koordinat lokasinya, berbukit hijau indah di sekelilingnya, saya bagai makhluk asing kerana satu-satunya pelajar yang tiada 2 dokumen penting wajib untuk ke Sekolah Menengah iaitu Sijil Asal UPSR dan Surat Berhenti Sekolah Rendah (tak boleh buat sebab tiada keputusan rasmi UPSR). Terima kasih kepada pihak Sekolah Penyayang yang sudi menerima saya pada waktu itu walaupun pada awalnya saya sekadar berstatus “pending”, sebelum diberi jaminan tetap setelah rayuan ikhlas diterima menerusi keputusan percubaan (3B 2A).

“ Buat pengetahuan insan terbaca, beburung tinggi terbang di awan, itik di kolam, ayam di reban (atas pokok bagi ayam kampung yang diberi 100% kebebasan – “self sufficient @ independent”), ikan di lubok dan lautan, monyet kekeraan di dahan bergantungan, sesayuran di batasan, ubi gadung di hutan, anak sembilang di tapak tangan, kerabat cacing di lubang bergelutan, anai-anai di busut perpusuan, pepucuk buluh muda berebungan, lumut licin di batuan, dan seluruh hidupan berbiotik pada alam,,,,,,,,,,sehingga hari ini patik sebenarnya masih belum pernah melihat apatah lagi memiliki 2 Keping kertas asli yang memaparkan Keputusan UPSR dan Sijil Berenti Sekolah Rendah milik sendiri”.

Nasib baik diterima ke Sekolah Menengah atas budi bicara, kalau tidak………(nada geram).
*Masih menanti kalau-kalau ia akan tiba, tiada yang mustahil, ia boleh terjadi walau sudah agak berkurun berlalu Nokhtah

Thursday, August 5, 2010

Ajak-Ajak Arak

Singkap kembali ketika pesta parti Ryugakusee (pelajar antarabangsa). Sebelumnya sudah ada tunas kenal-kenalan dengan insan baik itu kerana kami kerap selisih pandang di ryou (penginapan asrama). Dia kerap bertanya saya tentang Malaysia negara bertuah, selalu juga ingin bertatih cakap english nya dengan saya kerana sukar baginya (katanya) dan hanya peluang yang baik untuk diamal adalah ketika bersama foreigner. Diri saya pula sentiasa berlumus untuk membahasa gunakan tutur jepun nya sebagai pendendang di kala masa cetek ketara. Saban hari dia semakin gemar ingin berkawan dengan saya, dan saya dengan hati ternganga sudi sahut sahaja. Tetapi, selepas party ryugakusee itu, yang mana beliau bersama rakan nya merayakan satu party baru,mereka mabuk kerana terlalu banyak minum bersama dalam party tambahan itu. Kebetulan drama mabuk minum keterlaluan itu dijalankan di bilik depan bilik saya, dan semasa saya baru mahu masuk bilik setelah pulang dari party ryugakusee, beliau dalam keadaan mabuk itu menyekat saya dan mengajak saya menyertai mereka untuk minum-minum dan tari-menari gila itu. Saya cuba menolak dengan baik dan menyatakan bahawa saya tidak boleh menyertai anda kerana saya adalah Muslim dan haram sama sekali bagi saya untuk gelumang sama. Dia yang masih mabuk itu terus memujuk saya dan saya terpaksa mengambil masa hampir 45 minit untuk melayan kerenahnya di depan pintu bilik peribadi saya dan beberapa kali terpaksa menerangkan apa dan kenapa saya tidak boleh walau cuba-cuba. Dia sedetik ketika bagai sudah faham tetapi masih memaksa saya agar cuba dan marilah bersama. Ikut rasa cas negatif hati, ingin sahaja saya berkeras kasar melayannya, tetapi bila renung jenak kembali bahawa kedatangan saya kembara ini adalah ada nilai hubungan dua daigaku (universiti) dan kesan nya amat besar juga, maka saya cuba jaga tatasusila Malaya agar tiada buruk pandang berlaku pada jejak nokhtak pulang ke laman si lubok bongor nanti. Akhirnya saya berjaya meloloskan diri dengan secubit senyuman beriring ucapan oyasuminasai (selamat malam). Esoknya si dia yang mabuk semalamnya, kelihatan seperti ingin melarikan diri dari saya, dia seakan sangat malu pada saya, hasrat nya yang mengila ingin berkawan dengan saya bagai berkabus bayang sudah. Terserempak di kawasan kampus, dia cepat segera paling wajah arah berbeda. Suatu ketika datang dia hampiri saya dan meminta maaf kerana sikapnya ketika mabuk itu, katanya dia sangat malu dengan saya. Saya lantas berkata , jangan lah risau saudara, saya faham kehidupan anda, tidak perlu malu pada saya, cuma saya tidak boleh menyertai anda pada saat itu. Dan minggu lalu kami kembali akrab semula. Saya tahu betapa ada harga hormat antara kita, lebih-lebih lagi pada insan tiada agama. Maafkan saya, ajak-ajak arak anda sekurang-kurangya menguji saya bila jarak sekadar 2 pembaris panjang sahaja dengan tombol pintu saya.